SEJARAH

sejarah kemunculan syiah

08/25/2015 11:56
    Kemunculan Syiah mempunyai kaitan rapat dengan suasana ketidakstabilan politik yang sedang berlaku dalam kalangan umat Islam pada ketika itu. Suasana politik yang tidak tenteram ini adalah berpunca daripada fitnah-fitnah yang berlaku pada zaman tersebut. Fitnah-fitnah ini bukan sahaja berakhir dengan melahirkan kumpulan Syiah, malah ia juga melahirkan kumpulan-kumpulan yang lain, iaitu Khawarij, Murji’ah dan Mu’tazilah pada satu pihak. Manakala di pihak yang lain adalah kumpulan Ahli Sunnah Wal-Jamaah yang sentiasa bertindak sebagai golongan yang berpegang teguh kepada warisan peninggalan Rasulullah SAW, iaitu al-Qur’an dan al-Sunnah. Dua kontroversi utama yang menjadi fitnah sehingga melahirkan kumpulan-kumpulan tersebut termasuk Syiah, iaitu Perang Jamal (36H) dan Perang Siffin (37H). Daripada catatan sejarah menunjukkan bahawa Ali bin Abi Talib r.a. dilantik menjadi khalifah pada tahun 35H oleh kaum Muslimin selepas khalifah Uthman bin Affan r.a. dibunuh dengan kejam oleh para pemberontak, khususnya yang datang dari wilayah Mesir, Kufah dan Basrah. Pelantikan Ali bin Abi Talib r.a. dalam suasana yang begitu kritikal tidak mendapat restu daripada keseluruhan umat Islam, kerana terdapat beberapa golongan yang tidak menyerahkan bay‘ah atau taat setia kepadanya. (Al-Tabari 1969: 4/430-431; al-Shaybani 1415h: 3/83; Ibn al-Jawzi 1358h: 5/65) 
 
    Hal ini berlaku kerana Ali bin Abi Talib turut dikaitkan dengan pembunuhan khalifah Uthman, atau sekurang-kurangnya beliau dianggap melindungi orang-orang yang terlibat dengan pembunuhan itu. Berasaskan alasan ini, para penentang Ali bin Abi Talib daripada kumpulan Mu‘awiyah di Sham menolak bay‘ah ketaatan kepada Ali bin Abi Talib r.a. (Ibn al-‘Arabi 1407h: 1/166)
 
    Di sinilah, bermula tragedi Perang Jamal antara kumpulan khalifah Ali r.a. dengan kumpulan pimpinan Umm al-Mu’minin, Aishah r.a. yang dibantu oleh sahabat-sahabat besar seperti Talhah bin Ubaidullah r.a. dan al-Zubayr bin al-Awwam r.a. Berasaskan sumber-sumber sejarah seperti Tarikh al-Tabari, al-Kamil fi al-Tarikh dan al-Fitnah wa Waq‘ah al-Jamal, adalah jelas bahawa kedua-dua pihak, iaitu Khalifah Ali r.a. dan Umm al-Mu’minin Aishah mahu mengelakkan berlakunya peperangan, namun terdapat pihak ketiga yang menginginkan tercetusnya perang, iaitu kumpulan Saba’iyyah yang pernah terlibat secara langsung dalam kes pembunuhan Khalifah ‘Uthman r.a. yang lalu. Sekiranya berlaku perdamaian antara pihak Ali dan Aishah r.a., di Basrah, maka mereka akan sama-sama bersatu dan bersepakat untuk mengesan semua pembunuh dan orang-orang yang terlibat dengan pembunuhan ketua negara itu, seterusnya dihukum. Apabila ini terjadi, maka golongan Saba’iyyah akan menerima padahnya. (Al-Asadi 1391H: 1/149; al-Shaybani 1415H: 3/125)
 
    Tidak lama selepas keadaan di Basrah pulih seperti sediakala setelah tamat Perang Jamal, Khalifah Ali bin Abi Talib r.a. melantik gabenor baru Abdullah bin Abbas r.a. mentadbir Basrah. Kemudian beliau memilih bandar Kufah menjadi ibu negara Islam yang baru dan pusat pemerintahannya. (Ibrahim Sha‘wat & Mahmud Ziyadah 1984: 393). Seperti dimaklumi, konflik antara Saiyyidina Ali r.a. dan Mu‘awiyah bin Abi Sufyan, bekas gabenor Sham menjadi bertambah tegang setelah Mu‘awiyah dan pengikut-pengikut setia yang terdiri daripada penduduk Sham enggan menyatakan kesetiaan atau bay‘ah mereka kepada Khalifah Ali r.a. yang baru dilantik. (Hasan Ibrahim Hasan 1964: 1/368) Perselisihan ini akhirnya menyebabkan berlaku pertempuran antara kekuatan Saiyyidina Ali r.a. sebagai khalifah yang sah dengan kekuatan Sham pimpinan Mu‘awiyah bin Abi Sufyan. Pertempuran ini berlaku pada bulan Safar tahun 37H di sekitar lembah Siffin. Ada juga pendapat yang menyebut pertempuran bermula pada bulan Zulhijah tahun 36H dan berakhir pada bulan Muharam 37 H. 
(Al-Dhahabi 1413H: 1/426)
 
    Peristiwa Perang Siffin ini jugalah menjadi punca kepada kelahiran kumpulan Syiah. Walaupun terdapat pelbagai pendapat tentang sejarah awal kemunculan Syiah, pendapat yang mengatakan ia muncul selepas Perang Siffin adalah paling tepat. Menurut Ihsan Ilahi Zahir, pandangan ini dipegang oleh Ibn Hazm dan Ahmad Amin serta beberapa penulis Syiah seperti
al-Khawansari di dalam kitabnya ‘Rawdat al-Jannat’. (Ihsan Ilahi Zahir 1984: 13; Ibn Hazm t.t: 4/79; Ahmad Amin 1969: 266) ‘Awwaji berpendapat, pandangan ini lebih tepat memandangkan selepas Perang Siffin, kumpulan Khawarij telah keluar daripada mentaati Sayyidina Ali dan membina gerakan mereka sendiri di Nahrawan. Oleh itu, sebagai tindak balas kepada kumpulan Khawarij, penyokong kepada Sayyidina Ali semakin berkembang dari semasa ke semasa sehingga membentuk satu fahaman politik. Bermula dari sini, Syiah berpindah menjadi sebuah kumpulan yang melampau dan fanatik terhadap Sayyidina Ali sehingga ke peringkat mencela, mengkafirkan, malah berlepas diri daripada para sahabat r.a.h. kecuali beberapa orang seperti Salman al- Farisi, Abu Zar, al-Miqdad, ‘Ammar bin Yasir dan Huzayfah r.a.h. (‘Awaji 2001: 1/311-312) Walau bagaimanapun, menurut Kamil Mustafa al-Shibi, Syiah pada zaman selepas pembunuhan Sayyidina Husain r.a telah membentuk satu karakter khas seperti yang wujud pada hari ini. (‘Awaji 2001 : 1/311)