QADARIAH

Nama al-Qadariah berasal daripada perkataan al-Qadr yang merujuk kepada pengertian kebebasan kehendak dan kuasa. Justeru itu, nama al-Qadariah ini telah diambil daripada perkataan tersebut disebabkan oleh pendirian serta pegangan golongan ini tentang persoalan sama ada manusia berkuasa atau tidak dalam membuat pilihan iaitu untuk melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan. Allah s.w.t. dikatakan tidak berkuasa atas perbuatan manusia. Perkataan Qadariah tidak ditemui dalam al-Quran sebaliknya yang ada hanyalah perkataan al-Qadr. Bagaimanapun ia berbeza sama sekali dengan hadith kerana perkataan tersebut dapat dilihat menerusi hadith-hadith yang agak banyak dan dikatakan bersumber daripada nabi Muhammad S.A.W.

Antara hadith yang dikaitkan ialah yang pertama "Al-Qadariah terdiri daripada golongan yang mengatakan bahawa baik dan buruk di tangan kita, tiada bahagian bagi mereka dalam syafaatku, aku bukanlah daripada mereka dan mereka bukanlah daripada aku"

Hadith kedua : "Al-Qadariah merupakan kaum Majusi umat ini".

Hadith ketiga : "Jangan kamu duduk bersama-sama dengan Ahli al-Qadr dan jangan berbicara dengan mereka".

Hadith keempat : "Dua kelompok daripada umatku, tiadalah bahagian bagi mereka daripada Islam, iaitu al-Murji'ah dan al-Qadariah".

Qadariah dinisbahkan dari perkataan Qudrat. Golongan ini beriktikad bahawa segala perbuatan manusia itu samada baik atau buruk adalah lahir dari usaha dan ikhtiar manusia itu sendiri, tiada hubung kait dengan kuasa ALLAH, pengasas mazhab ini ialah Ma’bad ibn Khalid al Juhani dan Ghailan al-Dimasyqi. Mazhab ini lahir di Basrah oleh sebab pertikaian umat islam tentang persoalan qada dan qadar ALLAH, nama mazhab ini diambil dari al-qadar. Mereka mengatakan bahawa segala usaha dan perbuatan manusia itu terjadi dengan kehendak mereka sendiri.